Terengganu Turtles meneruskan usaha untuk keluar dari zon penyingkiran Liga Sepak Takraw (STL) apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas PDRM Defenders di Stadium Indera Mulia, Ipoh sebentar tadi.

Dengan kemenangan keempat itu, Turtles mengutip lapan mata dan hanya ketinggalan dua mata di belakang Defenders.

Bagi Defenders pula, kekalahan itu merupakan yang ke-11 dengan berbaki dua perlawanan terakhir minggu depan.

Turtles, yang menurunkan pengumpan muda, Afif Zainal Abidin, untuk bergandingan dengan Noor Azman Abdul Hamid (tekong) dan Phutawan Sopa (perejam), jelas menguasai perlawanan sejak mula.

Regu lawan yang dibarisi Hisyammudin Nazri (tekong), Suhairi Sulaiman (pengumpan) dan Syukri Hasan (perejam) tidak tertahan rejaman padu Phutawan yang menyaksikan mereka tumpas 21-9 dalam masa 16 minit.

Bagaimanapun, Defenders bangkit dalam set kedua untuk memberikan saingan di peringkat awal tetapi ia tidak mencukupi untuk menyekat Turtles memenangi perlawanan 21-16 selepas 37 minit.

Sementara itu, Kelantan Warriors menebus kekecewaan tewas kepada Kuala Lumpur Thunder semalam dengan menundukkan Sabah Mountaineers 2-0.

Begitupun, Warriors terpaksa bekerja keras sebelum menang 21-16, 23-21 dalam masa 52 minit.