Johor Tigris mengukuhkan cengkaman di puncak Liga Sepak Takraw (STL) selepas mencatatkan kemenangan keenam dengan menewaskan Kuala Lumpur Thunder 2-1 di Stadium MABA, hari ini.

Aksi di antara dua pasukan di tangga teratas itu menyaksikan Tigris mempertaruhkan Farid Aziz di posisi tekong, Muqlis Borhan sebagai pengumpan dan Noraizat Nordin selaku perejam.

Gandingan itu lebih cepat mengawal gelanggang dengan mata yang dipungut kebanyakannya hadir daripada rejaman Noraizat untuk mengakhiri set pertama 21-11.

Tersentak dengan situasi itu, pengendali Thunder, Azhar Sarabini, segera menyuntik semangat buat pemainnya dalam set kedua sebelum mengheret perlawanan ke set penentuan hasil kemenangan 21-17.

Aksi dalam set ketiga lebih menarik dengan kedua-dua pasukan saling berkejaran mata sebelum Tigris meraih kemenangan 21-17.

Keputusan lain:

KELANTAN WARRIORS 0 PERAK BISON 2
ATM GUARDIANS 2 TERENGGANU TURTLES 0
SABAH MOUNTAINEERS 0 PENANG BLACK PANTHERS 2