Sebaik sahaja servis tekong Terengganu Turtles, Aidil Haikal, tersangkut di jaring pada mata penamat set kedua, kem Kelantan Warriors bersorak gembira menandakan mereka sudah mendapatkan mata penuh pertama dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL), musim ini.

Warriors, yang menampilkan perejam muda kelahiran Kuala Krai, Eqbal Shamsudin, menampilkan aksi terbaik bersama tekong import, Apirak Promanee, dan apit kiri negara, Aidil Aiman Azwawi, untuk menang mudah 2-0 (21-11, 21-12) ke atas regu muda Terengganu Turtles semalam.

Namun, halangan sukar menanti pasukan itu apabila turun menentang juara bertahan, Penang Black Panthers, yang kembali mendapat rentak kemenangan menumpaskan KL Thunder 2-1, malam tadi.

Pengurus Warriors, Syazwan Muhammad Hassan, mengakui hakikat itu sambil memberikan peringatan buat anak buahnya supaya sentiasa memberikan aksi terbaik untuk mengejutkan juara Piala Sumbangsih itu.

"Alhamdulillah, ia kemenangan pertama selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut.

"Di atas kertas, Black Panthers dianggap regu pilihan, namun dalam sepak takraw, apa sahaja boleh berlaku.

"Kelantan Warriors akan turun dengan semangat yang tinggi dan berazam untuk mencari kemenangan kedua dengan mengejutkan skuad Pulau Mutiara itu," katanya.

Syazwan juga memuji aksi pelibas muda, Eqbal, yang menunjukkan semangat juang tinggi dalam penampilan STL pertamanya.

"Kena baiki lambungan kepada Apirak dan sabar dalam merancang serangan untuk mendapatkan mata.

"Insya-Allah, beri sedikit masa kepada Eqbal dan dia akan muncul antara pelibas terbaik negara satu hari nanti," katanya.

Syazwan mengajak penyokong setia Warriors untuk membanjiri Stadium MABA sebagai pemain ke-12 sambil menikmati pertarungan yang mendebarkan itu.

"Sokongan padu penyokong amat ditagih untuk Warriors mengejutkan juara bertahan petang ini," ungkapnya.