STL: Perak Bison hela nafas lega

Oleh Azizan Hashim 7 Disember 2018 3878
STL: Perak Bison hela nafas lega
Perak Bison mampu menghela nafas lega apabila dapat menurunkan khidmat tekong, Yus Hanif Rosli, bagi menghadapi kempen Piala Juara-Juara STL 2018 di Gem In Mall Cyberjaya, bermula hari ini.

Selepas penyertaan Yus Hanif diselubungi kesamaran berikutan masalah kesihatan ibu pemain itu, Bison menerima perkhabaran gembira apabila pemain tersebut bersedia untuk diturunkan.

Penolong pengurus, Roaznizam Aziz, mengesahkan Yus Hanif akan diturunkan dalam pertembungan dengan tiga pencabar kumpulan B, iaitu ATM Guardians, Johor Tigris dan Negeri Sembilan Antlers, bermula dengan menentang Johor Tigris, malam ini.

Nizam mengakui kem Bison dilanda kebimbangan gara-gara berkemungkinan tidak dapat menurunkan khidmat tekong utama itu.

"Apa tidaknya, kami hanya mempunyai seorang tekong, iaitu Heppy Itam, untuk mengharungi kempen," katanya.

Dengan kehadiran semula Yus Hanif, Nizam berkeyakinan ia akan meningkatkan moral pemain Bison dalam usaha mengulangi pencapaian musim 2017 selaku naib juara.

Walaupun Bison pernah mencatat kemenangan ke atas wakil Selatan itu dalam saingan liga, Nizam berkata ia bukan jaminan untuk mereka akan mendapat laluan mudah.

"Pemain tidak boleh terlalu yakin dan memandang rendah keupayaan lawan kerana ia kejohanan lain.

"Semua pasukan sudah membuat persiapan rapi dan mempertingkatkan kemampuan masing-masing," katanya.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen