Kelantan Warriors perlu segera melupakan kekalahan malam tadi dan memberi lebih tumpuan untuk menumbangkan Sabah Mountaineers dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Indera Mulia, Ipoh, hari ini.

Pengurus Kelantan Warriors, Ahmad Syazwan Muhammad Hassan, akur dengan kekalahan straight set 17-21, 19-21 kepada Kuala Lumpur Thunder yang beraksi cukup cemerlang sambil dibantu kelemahan pertahanan pemainnya.

"Kami gagal beraksi seperti biasa. Mungkin faktor kepenatan kerana Apirak Promanee baru sampai dari Thailand.

"Kami bermula dengan perlahan dan dihukum dengan kekuatan pertahanan dan serangan KL Thunder.

"Harap jadi pengajaran berguna dan kami perlu fokus untuk membawa pulang dua mata dengan menumpaskan Mountaineers," katanya.

Syazwan juga enggan menamakan pemain yang bakal diturunkan, sebaliknya pantas mengingatkan mereka supaya tidak memandang mudah perlawanan itu biarpun Mountaineers berada di dasar liga.

"Saya selalu tegaskan tiada pasukan lemah dalam saingan STL kali ini. Masing-masing ada kekuatan dan kelemahan.

"Jangan terlalu yakin kerana dalam sepak takraw, apa sahaja boleh berlaku. Main macam biasa dan berikan yang terbaik di dalam gelanggang. Insya-Allah, rezeki akan berpihak kepada kita," tambahnya.