Lima pasukan terbaik dalam divisyen perdana Liga Sepak Takraw (STL) layak beraksi dalam Piala Juara-Juara STL di Studio Pinewood Iskandar Malaysia, Johor dari 22 hingga 28 Disember ini.

Pasukan-pasukan itu ialah Perak Bison, ATM Guardians, Johor Tigris, Penang Black Panthers dan Kelantan Warriors.

Kesemua pasukan itu menduduki kelompok lima teratas STL yang berakhir di Stadium Indera Mulia, Ipoh malam tadi.

Bison muncul juara, diikuti Guardians (naib juara), Tigris (ketiga) dan Black Panthers (keempat).

Pada asalnya, hanya empat pasukan teratas layak ke Piala Juara-Juara tetapi Warriors, yang menduduki tangga kelima STL, akan menggantikan Tigris yang layak secara automatik selaku tuan rumah kejohanan lapan pasukan itu.

Selain itu, saingan berkenaan turut akan disertai pasukan jemputan dari Indonesia, Thailand, Singapura, China dan Filipina.

Begitupun, penganjur masih menunggu jawapan dan pengesahan daripada pasukan-pasukan luar itu.