Penang Black Panthers mengukuhkan peluang untuk mempertahankan kejuaraan Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2018 setelah melakar kemenangan 2-0 ke atas KL Thunder dalam aksi ke-15 di Gem In Mall, Cyberjaya, sebentar tadi.

Dengan hanya tiga perlawanan berbaki selepas ini, kemenangan ke-12 buat Penang Black Panthers itu membolehkan mereka melonjak semula ke tangga teratas liga dengan kelebihan dua mata mengatasi pencabar terdekat, ATM Guardians, yang hanya akan turun beraksi menentang PDRM Defenders, esok.

Meskipun perlawanan sedikit tegang di hujung permainan dek keputusan kontroversi pengadil, regu gandingan Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Zaim Razali itu tidak bermasalah untuk melakar kemenangan 21-16, 21-17 ke atas regu KL Thunder, Aizat Azmi, Amirul Zazwan dan Norhafizi Razak.

Syahir yang merupakan tekong kebangsaan, bagaimanapun, berpendapat pasukannya belum boleh menarik nafas lega dan mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak segera terbuai dan kekal fokus untuk meraih kemenangan dalam baki perlawanan.

“Ia satu kemenangan yang penting, kami tidak lagi boleh membuat kesilapan kerana belum berada dalam zon selesa.

"ATM Guardians sedang memberi tentangan sengit, jadi kami perlu kekalkan momentum ini dan tidak membiarkan fokus terganggu. Buat masa ini, saya gembira kerana kerjasama sepasukan yang ditunjukkan adalah cukup baik,” ujar Syahir yang pasukannya akan menentang Johor Tigris, esok.

Bagi KL Thunder pula, andai menang, mereka berpeluang untuk menyamai pungutan mata milik Penang Black Panthers dan ATM Guardians, sebaliknya kekalahan akan menyaksikan mereka kekal dengan 20 mata dan berada di tangga ketiga.

Jurulatihnya, Azhar Sarabini, menyifatkan mutu pengadilan yang teruk sebagai merentap peluang pasukannya untuk cuba mendapatkan sesuatu daripada perlawanan itu.

“Regu saya sudah bermain baik tetapi mutu pengadilan sangat teruk dan ia mengubah segalanya. Kami memberikan tentangan sengit dan berpeluang mengheret perlawanan ke set penentuan, namun keputusan pengadil menyebabkan emosi pemain terganggu dan tawar hati meneruskan permainan,” kata Azhar.

Menjelaskan apa yang berlaku, Azhar berkata, “Penang ‘challenge’ kata gerakan perejam saya, Norhafizi, batal tetapi apabila tengok video, keputusannya ‘challenge’ itu tidak batal, jadi mata diberi kepada KL Thunder.

"Tetapi, selepas itu jurulatih Penang (Helmi Ismail) berjumpa dengan juri dekat belakang, kemudian keputusan berubah lagi dan memihak pula kepada Penang.

“Mana boleh buat dua kali keputusan, ini siaran langsung, semua orang tengok. Belum pernah dalam sejarah STL selepas dibuat keputusan, berubah keputusan. Satu kesilapan seperti ini memberi impak besar kepada reputasi saingan secara keseluruhan.”

Aksi seterusnya buat KL Thunder adalah menentang Selangor Pistons, Ahad ini.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan, Perak Bison kembali semula ke landasan kemenangan setelah tewas empat perlawanan berturut-turut sebelum ini dengan menundukkan Johor Tigris 2-0.

Yus Hanif Rosli, Azwan Muhrim dan Fadzil Mustapha tampil dengan permainan meyakinkan untuk melakar kemenangan 21-17, 21-17 ke atas trio Noor Azman Hamid, Muqlis Borhan dan Noraizat Nordin.

Keputusan STL hari ini:
Penang Black Panthers mn KL Thunder 2-0 (21-16, 21-17)
Perak Bison mn Johor Tigris 2-0 (21-17, 21-17)