STL: Kemenangan Bison buat Ismi lega

Oleh Azizan Hashim 11 Oktober 2019
STL: Kemenangan Bison buat Ismi lega
Ketua jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail, lega dengan kemenangan 2-1 anak buahnya ke atas Terengganu Turtles dalam perlawanan pertama pusingan kedua Liga Sepak Takraw (STL) di Gem In Mall, Cyberjaya, malam ini.

Bagaimanapun, dia tidak senang duduk melihat kesukaran dihadapi anak buahnya, terutama dalam set kedua.

Dalam perlawanan itu, Bison menang set pertama 21-18 tetapi tumpas 15-21 ketika babak seterusnya sebelum bangkit dalam set ketiga 21-16.

"Saya memang menjangkakan perlawanan sengit. Terengganu bermain baik dan berjaya mencipta tekanan kepada anak buah saya berikutan tampanan-tampanan berkesan oleh Phutawan Sopa," katanya.

"Bagaimanapun, saya memberi nasihat kepada pemain supaya menggunakan helah bagi mengelak Phutawan daripada membuat hadangan.

"Alhamdulillah tindakan itu berkesan dan tindakan Terengganu mengubah posisi Phutawan kepada tekong memudahkan lagi tugas kami."

Kemenangan malam ini meletakkan Perak Bison di atas landasan tepat dan Ismi berharap mereka mampu mengulanginya apabila turun bertemu Negeri Sembilan Antlers, esok.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen