Kedudukan tiga teratas Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2018 tidak berubah setelah tamat aksi hari kelapan saingan di Gem In Mall, Cyberjaya sebentar tadi.

Pendahulu, ATM Guardians, terus merajai takhta liga dengan mencatat kemenangan keenam berturut-turut, kali ini dengan menewaskan PDRM Defenders 2-0.

ATM Guardians turun ke perlawanan ini tanpa kelibat apit kanan utama, Afifuddin Razali, manakala apit kanan veteran, Khairuddin Adenan, pula diletakkan sebagai simpanan kerana masalah kecederaan.

Begitupun Ab Muhaimi Che Bongsu yang mengisi posisi tersebut tidak bermasalah membentuk gandingan mantap bersama tekong, Hairul Hazizi Haidzir, dan apit kiri, Norfaizzul Razak, untuk mengetepikan tentangan Syafiq Rahman, Syahmi Hussin dan Shaifullah Mohamed Nor 21-17, 21-14.

Dalam pada itu, KL Thunder terus menghimpit kedudukan pendahulu apabila mengukuhkan cengkaman di kedudukan kedua dengan menewaskan Selangor Pistons 2-0.

Trio Aizat Azmi, Azmi Kadir dan Hafiz Rahman membenam cabaran Farhan Adam, Norshahrudin Ghani dan Shafiq Shariff 21-12, 21-19.

Perlawanan yang berlangsung lebih awal menyaksikan Penang Black Panthers kembali ke landasan kemenangan setelah mengetepikan tentangan sengit Johor Tigris 2-1.

Juara bertahan STL Premier itu yang tewas dalam dua perlawanan terdahulu kepada ATM Guardians dan KL Thunder terdesak untuk bangkit agar tidak terus tercicir dalam kedudukan liga.

Jurulatih Black Panthers, Helmi Ismail, membuat sedikit rombakan pada barisan pemainnya dengan menghadiahkan apit kiri, Saiful Azri Shahnon, penampilan pertama musim ini.

Saiful yang bergandingan dengan Said Ezwan Said De dan ‘killer’ kebangsaan, Azlan Alias, memenangi set pertama 21-15, namun Johor Tigris yang dibarisi Muqlis Borhan, Ashraf Azizan dan Azman Hamid mengikat kedudukan 1-1 setelah menang 21-17 dalam set kedua.

Penang Black Panthers, bagaimanapun, memastikan tiada kejutan berlaku pada hari kelapan saingan apabila menang 21-16 dalam set penentuan, sekali gus mengesahkan kemenangan kelima mereka.

“Ia perlawanan yang sukar, kami sedikit bergelut kerana Johor bertahan dengan cukup baik dan mematahkan serangan yang kami lakukan.

"Pada pertengahan set kedua, jurulatih telah membawa masuk Syahir (Rosdi) untuk menajamkan servis serta serangan dan selepas itu kami nampak lebih yakin,” kata Saiful Azri.

Jurulatih Johor Tigris, Muhammad Ibrahim, pula berpendapat mereka perlu menyalahakan diri sendiri atas kekalahan ini.

“Kami cuba menyaingi pengalaman dan kualiti Black Panthers dengan mengheret perlawanan ke set penentuan tetapi malangnya beberapa kesilapan yang tidak sepatutnya dibuat menyebabkan kami hilang rentak dan hilang fokus.

“Ketika set pertama, kami banyak kesilapan di pertahanan, empat mata kami buang begitu sahaja, kami berdepan masalah sama dalam setiap perlawanan dan saya berharap ia dapat diperbaiki dalam perlawanan akan datang,” katanya.

Sementara itu, Terengganu Turtles pula bangkit daripada empat kekalahan berturut-turut sebelum ini untuk melakar kemenangan 2-1 ke atas Melaka Titans.

Trio Muzhafar Zamir Daimin-Irsyad Faiz Aziz-Fadzli Roslan tewas set pertama 14-21 namun bangkit dengan permainan lebih bertenaga untuk menang dua set berikutnya 21-12, 21-17.

Keputusan (20 Oktober):
Penang Black Panthers mn Johor Tigris 2-1 (21-15, 17-21, 21-16)
ATM Guardians mn PDRM Defenders 2-0 (21-17, 21-14)
Terengganu Turtles mn Melaka Titans 2-1 (14-21, 21-12, 21-17)
KL Thunder mn Selangor Pistons 2-0 (21-12, 21-19)