STL: Johor Tigris kejutkan pendahulu liga

Oleh Farizal Yusoff 10 November 2018 14639
STL: Johor Tigris kejutkan pendahulu liga
Hajat besar Johor Tigris untuk menumpaskan pendahulu liga, ATM Guardians, tercapai apabila menang 2-1 (21-13, 15-21, 21-18)  dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) yang mendebarkan di Gem in Mall, Cyberjaya, sebentar tadi.

Johor Tigris yang dibimbing bekas tekong kebangsaan, Ahmad Jais Baharom, mengekalkan trio Azman Abdul Hamid, Noraizat Nordin dan kapten, Muqlis Borhan, manakala ATM Guardians menurunkan tekong kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir, perejam berpengalaman, Khairudin  Adenan dan Norfaizzul Abdul Razak.

Johor Tigris melalui servis kencang Azman bermula garang apabila mendahului 15-8 sebelum ATM Guardians meminta 'time out'.

Azman terus menjadi wira apabila servis di mata akhir mencari sasaran tujuh, gagal diangkat kemas Norfaizzul untuk Johor Tigris menang 21-13 dalam masa 20 minit.

Bersambung set kedua, ATM Guardians mula bangkit dan variasi servis Hairul membolehkan mereka jauh meninggalkan lawan 12-6 sebelum ketua jurulatih Johor Tigris, Ahmad Jais, meminta 'time-out'.

Libasan kencang Noraizat yang tersangkut di jaring membolehkan ATM Guardians menang 21-15 dan mengheret perlawanan ke set penentuan.

Drama semakin menarik dan mendebarkan dalam set penentuan apabila kedua-dua regu saling mengejar. Servis Hairul Hazizi yang kurang menjadi membolehkan Johor Tigris mendahului 20-18.

Libasan kencang Noraizat di mata akhir hasil umpanan Muqlis membolehkan Johor Tigris melakukan kejutan terbesar untuk menang 21-18.

Ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, akur dengan kekalahan regunya dan menyifatkan mereka perlu bangkit segera untuk memburu kemenangan menentang Melaka Titans.

"Pemain telah memberikan yang terbaik tetapi rezeki lebih berpihak kepada Johor Tigris. 

"Kami perlu bangkit segera untuk memburu kemenangan menentang Melaka Titans esok untuk mencabar kedudukan liga," katanya.

Kemenangan ke atas ATM Guardians membolehkan Johor Tigris  memungut 16 mata daripada lapan kemenangan manakala skuad kendalian Azwadi itu kekal dengan 20 mata.
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen