ATM Guardians tidak akan ambil mudah dan memberi tumpuan sepenuhnya untuk memburu kemenangan ke atas Terengganu Turtles dalam Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini.

Ketua jurulatih Guardians, Aswadi Abdullah, yakin pemainnya tidak akan mengulangi kesilapan sama ketika tumpas kepada Negeri Sembilan Antlers kerana sebarang kekalahan pasti memusnahkan peluang mereka untuk memburu kejuaraan.

"Selepas mengejutkan Bison 2-0 dan tumpas straight set kepada Antlers minggu lalu, kami perlu mencatatkan kemenangan ke atas Turtles untuk meneruskan perjuangan memburu kejuaraan.

"Saya harap pemain dapat beraksi seperti biasa dan memberikan tumpuan sepenuhnya ke atas pertembungan ini. Jangan fikir benda di luar gelanggang," tambahnya.

Aswadi, yang dipilih jurulatih terbaik STL musim lalu, terus mempertaruhkan trio emasnya yang diketuai tekong kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir, untuk mengecewakan skuad kendalian Futra Abdul Ghani itu.

"Kami juga sedar Turtles terdesak untuk memburu kemenangan bagi mengelak tersingkir ke Divisyen 1 musim depan.

"Kita akan menyaksikan dua apit kanan terbaik beraksi dan pasti menjadikan pertarungan ini cukup mendebarkan," ujarnya.