ATM Guardians meraih kemenangan kelima berturut-turut dalam Liga Sepak Takraw (STL) dengan membuktikan mereka terlalu kuat untuk ditentang Sabah Mountaineers apabila meraih kemenangan 21-4, 21-9 di Gem In Mall, Cyberjaya malam tadi.

Turun umpama sesi memanaskan badan, Guardians yang membariskan tekong negara, Hairul Hazizi Haidzir, Muhaimi Bongsu dan Norfaizzul Razak, hanya memerlukan 36 minit untuk menamatkan impian Mountaineers memburu kemenangan kedua selepas mengejutkan PDRM Defenders 2-1.

Ketua jurulatih Guardians, Aswadi Abdullah, gembira dengan prestasi pemainnya yang beraksi tanpa sebarang tekanan untuk meraih kemenangan ke-10.

"Alhamdulillah, pemain dingatkan supaya tidak terlalu yakin dan beraksi seperti biasa.

"Kami dapat meninggalkan Sabah dengan jurang mata yang besar, sekali gus memberikan lebih keyakinan kepada persembahan ATM," ujarnya.

Aswadi, yang membawa ATM merangkul Piala Emas Khir Johari di Kuala Terengganu, Ogos lalu, memuji persembahan apit kanan, Muhaimi, dalam aksi pertamanya musim ini.

"Dia (Muhaimi) sentiasa memberikan aksi terbaik jika diturunkan dan sikap itu baik untuk pasukan.

"Kami mengekalkan rekod bersih di gelanggang bertuah ini (Gem In Mall) dan akan memberi fokus untuk dua minggu di Perak pula," tambahnya.

Untuk rekod, Guardians melonjak ke tangga ketiga dengan 20 mata manakala Montaineers kekal di dasar liga dengan dua mata.