Hasrat Johor Tigris untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan terakhir hari pertama minggu kelima Liga Sepak Takraw (STL) lebur selepas tewas 2-0 di tangan ATM Guardians di Gem-In Mall, Cyberjaya sebentar tadi.

Turun selaku pilihan, Guardians ternyata terlalu kuat buat Tigris apabila mudah mendahului 11-4 di awal permainan sebelum aksi mantap tekong kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir, yang membentuk gandingan ampuh bersama kapten, Norfaizzul Razak, dan Afiffudin Razali, menamatkan set pertama itu 21-18.

Set kedua menyaksikan keyakinan terus dipamerkan Afiffudin dalam setiap libasan yang dilakukan untuk memberikan mata demi mata, membolehkan Guardians mendahului 11-8 dan mengesahkan kemenangan 21-14.

Dalam aksi sebelum itu, kehadiran 'killer' dari Thailand, Phutawan Sopa, tetap tidak mampu membantu Terengganu Turtles meraih kemenangan ke atas Perak Bison apabila tewas 2-1.

Perak yang dibimbing Ismi Hissan Ismail itu mendapatkan kelebihan awal apabila menang 12-18 dalam set pertama sebelum kebangkitan Turtles mencatat kemenangan 21-15 dalam set kedua memaksa pemenang ditentukan dalam set ketiga.

Biarpun Turtles memberi saingan sengit dalam set penentuan, keampuhan Fadzil Mustafa, Azwan Muhrin serta tekong dari Thailand, Natthawut Naeprom, memanfaatkan kelekaan lawan bagi membolehkan Terengganu unggul 21-16.