Selepas meleburkan rekod tanpa kalah Kuala Lumpur (KL) Thunder malam tadi, ATM Guardians berdepan satu halangan sukar menentang pendatang baru yang juara Divisyen 1 musim lalu, Negeri Sembilan Antlers, dalam aksi Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium MABA, hari ini.

Ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, yakin pemainnya mendapat motivasi terbaik selepas melakar kejutan mengalahkan pendahulu, KL Thunder, 2-1.

"Alhamdulillah, rezeki kemenangan berpihak kepada kami biarpun Thunder di landasan terbaik meneruskan rentak cemerlang dalam liga.

"Percaturan kami untuk menggunakan khidmat tekong muda, Nazmi Najib, menjadi dan dia berjaya mengucar-ngacirkan pertahanan lawan melalui servis yang pelbagai.

"Hari ini kami turun dalam aksi ketiga untuk berdepan Antlers yang juga antara pasukan pilihan untuk menjuarai STL musim ini," katanya.

Aswadi juga bakal menurunkan tekong utama yang direhatkan, Hairul Hazizi Haidzir, sambil memantau tahap kecergasan apit kanan, Afifuddin Razali.

"Hazizi perlu cepat kembalikan servis lamanya yang ditakuti pasukan lawan bagi menambah keyakinan rakan sepasukan.

"Apih (Afifuddin) agak penat selepas berhempas-pulas malam tadi dan kami (barisan jurulatih) akan pantau tahap kecergasannya.

"Saya yakin satu lagi pertembungan sengit bakal berlaku kerana kedua-dua pasukan mahukan kemenangan untuk menghimpit pendahulu liga, KL Thunder."

Untuk rekod, ATM Guardians berada di tangga keempat dengan empat mata hasil dua kemenangan manakala Negeri Sembilan Antlers di tangga kelima, juga dengan empat mata.

Kredit Foto: STL