STL: Guardians mahu akhiri liga dengan kemenangan

Oleh Farizal Yusoff 2 November 2019 1089
STL: Guardians mahu akhiri liga dengan kemenangan
ATM Guardians mahu menamatkan saingan musim ini dengan kemenangan apabila turun menentang PDRM Defenders dalam Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Indera Mulia, Ipoh, hari ini.

Ketua Jurulatih Guardians, Aswadi Abdullah, yakin kemenangan 2-1 ke atas Terengganu Turtles malam tadi dan kini menjadi pendahulu liga membakar semangat pemainnya.

"Alhamdulillah, biarpun Turtles bangkit dalam set kedua dan mengheret kami ke set penentuan, pemain tidak mudah panik dan beraksi seperti biasa untuk menang 21-15.

"Kami akan terus fokus untuk memburu kemenangan ke-13 menentang Defenders tanpa memikirkan sebarang perlumbaan mengejar takhta STL musim ini," ujarnya.

Aswadi, yang membawa regu ATM menjuarai Piala Emas Khir Johari di Kuala Terengganu, Ogos lalu, enggan mengambil sebarang risiko untuk merombak regu emasnya yang telah membuktikan kehebatan sepanjang STL berlangsung.

"Kami tetap menurunkan regu utama yang diketuai tekong kebangsaan, Hairul Hazizi (Haidzir) dan berharap gandingannya bersama Norfaizzul (Razak) dan Afifuddin (Razali) terus utuh bagi menghadapi cabaran Piala Juara-Juara pula selepas ini," ujarnya.

Untuk rekod, kemenangan ke atas Turtles membolehkan Guardians merampas takhta liga daripada Penang Black Panthers yang tumpas 0-2 kepada Kelantan Warriors malam tadi.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen