STL: Guardians lega kejayaan lunas dendam

Oleh Farizal Yusoff 12 Oktober 2019
STL: Guardians lega kejayaan lunas dendam
ATM Guardians melupakan cerita sedih pusingan pertama apabila bangkit mengalahkan Johor Tigris 2-0 dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) di Gem-In Mall, Cyberjaya, malam tadi.

Guardians, yang menurunkan regu terkuat diketuai tekong kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir, sambil dibantu pelibas, Afifuddin Razali, dan Norfaizzul Razak jelas menguasai set pertama untuk menang 21-18.

Johor Tigris, yang mempamerkan aksi cemerlang dalam pusingan pertama, mengeluarkan Farid Aziz dan memasukkan tekong import dari Thailand, Noppharat Thumkham, untuk memberi tekanan kepada pertahanan Guardians, namun tidak berhasil sebelum tunduk 21-14 dalam masa 29 minit.

Ketua jurulatih Guardians, Aswadi Abdullah, lega dengan kemenangan yang menamatkan badi tiga kekalahan berturut-turut.

"Alhamdulillah, biarpun memulakan perlawanan dengan perlahan dan ketinggalan mata, namun pemain tidak mudah tertekan.

"Kami membaiki pertahanan dan mula menyerang melalui variasi servis Hairul yang menjadi malam ini (tadi)," katanya.

Aswadi yang juga dipilih jurulatih STL terbaik musim lepas mahukan pemainnya agar melupakan kemenangan itu dan bersedia menghadapi perlawanan getir menentang Kelantan Warriors malam ini.

"Kami tewas kepada Warriors dalam pusingan pertama dan saya berharap pemain lebih fokus dan tidak melakukan kesilapan mudah, terutama di penghujung permainan.

"Satu pertembungan yang tidak harus dilepaskan oleh kedua-dua penyokong," ujarnya.

Untuk rekod, Guardians melonjak ke tangga kelima dengan 12 mata manakala Tigris kekal di tangga kedua dengan 14 mata daripada 10 perlawanan.

Kredit Foto: STL
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen