ATM Guardians mengambil alih giliran untuk memimpin Liga Sepak Takraw (STL) buat seketika.

Kemenangan 2-1 ke atas Terengganu Turtles dan kekalahan Penang Black Panthers 0-2 kepada Kelantan Warriors di Stadium Indera Mulia, Ipoh malam tadi membolehkan Guardians melonjak ke kedudukan teratas dengan berbaki satu atau dua perlawanan lagi.

Pada masa sama, tuan rumah, Perak Bison, tidak beraksi malam tadi kerana hanya akan turun malam ini.

Dengan kejayaan itu, Guardians mengumpulkan 24 mata hasil 12 kemenangan daripada 17 perlawanan untuk meninggalkan pencabar lain, iaitu Black Panthers, Bison, Warriors dan Johor Tigris dua mata di belakang.

Perlawanan terakhir pasukan itu ialah bertemu PDRM Defenders malam ini.

Begitupun, Guardians perlu menunggu keputusan-keputusan lain membabitkan Black Panthers, Bison dan Tigris yang masing-masing mempunyai baki dua perlawanan.

Black Panthers akan berentap dengan Negeri Sembilan Antlers dalam perlawanan kedua hari ini manakala Bison berdepan Tigris pada sebelah malam.

Sementara itu, kedudukan Turtles dalam Divisyen Premier kini ibarat telur di hujung tanduk berikutan kekalahan itu.

Andai gagal menewaskan Kuala Lumpur Thunder petang ini, Turtles boleh mengucapkan selamat tinggal kepada saingan utama itu kerana akan diturunkan ke Liga Divisyen 1 tahun depan.