Liga Sepak Takraw (STL) 2019 akan kembali menemui peminat di Lembah Klang apabila akan berlangsung di Gem In Mall, Cyberjaya, pada minggu kelima dan keenam saingan, bermula Jumaat depan.

Jelajah STL yang sepatutnya diadakan di Kota Bharu, Kelantan telah dibatalkan bagi menghormati tempoh arahan berkabung selama 40 hari atas kemangkatan Sultan Kelantan ke-28, Sultan Ismail Petra Sultan Yahya Petra.

Saingan yang telah bermula pada 6 September lalu membuka aksi di Stadium MABA, Kuala Lumpur, selama tiga minggu dan jelajah Pulau Pinang buat julung kali pada minggu keempat yang lalu.

STL akan meneruskan jelajah ke Stadium Indra Mulia, Ipoh, Perak pada minggu ketujuh dan kelapan, sebelum ke gelanggang baru di Iskandar Malaysia Studio, Johor Bahru bagi saingan Piala Juara-Juara STL.

STL yang memasuki musim keenam tahun ini adalah inisiatif Astro dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang bertujuan untuk menyediakan liga berkualiti buat pemain-pemain memperagakan bakat, sekali gus menjadi pelantar dalam menjamin kesinambungan pemain untuk mewakili negara.