Kejayaan skuad sepak takraw Perak menjulang trofi Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Indera Mulia, Ipoh semalam mengubati kekecewaan peminat sukan di negeri itu.

Kegagalan memenangi sebarang kejuaraan dalam bola sepak dan hoki sepanjang tahun ini membuatkan arena sukan di Perak semakin suram.

Bagaimanapun, lebih 3,000 penyokong Perak Bison yang hadir di stadium tertutup itu malam tadi menjadi saksi kejayaan pasukan tuan rumah itu menundukkan juara bertahan, Penang Black Panthers, 2-0 untuk muncul juara buat kali pertama.

Jadi, tidak menghairankan apabila ramai yang tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing untuk melihat upacara penyampaian hadiah.

Individu paling gembira pastinya Presiden Persatuan Sepaktakraw Perak (PERSEDAR), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, dan jurulatih, Ismi Hissan Ismail.

"Syukur Alhamdulillah dengan kejayaan ini.

"Usaha mereka selama lebih dua bulan ini berbaloi dengan kejayaan ini.

"Apa yang lebih penting, ia dicatat di depan penyokong sendiri.

"Saya gembira kerana pemain membalas keyakinan dan kepercayaan serta segala usaha persatuan untuk meningkatkan mutu sukan ini, " kata Abdul Puhat selepas majlis penyampaian hadiah.

Dengan kejayaan itu, Bison meraih hadiah wang tunai RM50,000.

Sementara itu, Ismi Hissan memuji persembahan anak buahnya, terutama dalam dua perlawanan terakhir dalam saingan minggu kelapan itu.

Bison menumpaskan Johor Tigris 2-0 kelmarin untuk membuka kembali peluang menjuarai STL dan pemain pasukan itu menjalankan peranan masing-masing dengan persembahan bertenaga ketika membuat perhitungan dengan Black Panthers malam tadi.

"Syukur Alhamdulillah, ia hasil usaha bersama dan kerja keras setiap anggota pasukan.

"Mereka yang membuatkan impian ini menjadi kenyataan.

"Sebagai jurulatih, saya sekadar memberikan panduan tetapi pemain yang melaksanakan segala perancangan dan percaturan yang dibuat.

"Adakalanya mereka kena menggunakan budi bicara sendiri," ujarnya.

Ismi Hissan berkata pasukannya akan berehat beberapa hari sebelum menyambung latihan sebagai persiapan menjelang Piala Juara-Juara STL di Johor bulan depan.