STL: Bison perlukan 45 minit raih gelaran juara

Oleh Azizan Hashim 3 November 2019 1942
STL: Bison perlukan 45 minit raih gelaran juara
Perak Bison mencipta sejarah selepas muncul juara Liga Perdana Liga Sepak Takraw (STL) selepas menundukkan Penang Black Panthers 2-0, sekali gus menerima hadiah RM50,000 dalam aksi di Stadium Indera Mulia Ipoh, sebentar tadi.

Panthers, yang juga juara bertahan selama dua musim berturut-turut, terpaksa akur menduduki tempat keempat dalam kempen musim keenam ini untuk mengutip hadiah wang tunai RM10,000.

Dalam perlawanan tadi, trio tuan rumah hanya mengambil masa 45 minit untuk menamatkan cabaran lawan dengan kemenangan 21-17, 21-8.

Dengan mendapat sokongan padu kapasiti penuh stadium, tuan rumah yang menurunkan tekong, Meor Zulfikar Mat Amin, Asyraaf Hadi (pengumpan) dan Amirul Ramadhan Fazillah (perejam) beraksi cemerlang dalam set pertama untuk mendahului 14-10.

Bagaimanapun, trio Panthers, Said Ezwan Said De, Zulhusni Basri dan perejam terbaik kejohanan, Azlan Alias, berjaya merapatkan jurang sebelum Amirul menamatkan kemaraan mereka di angka 17.

Ketika Panthers berkira-kira untuk memberi tentangan dengan memasukkan tekong muda, Zarif Marican Ibrahim Marican, hingga berjaya mendahului tuan rumah 7-6 dalam set kedua, Bison membawa masuk tonggak dari Thailand, Nattawhut Naewprom.

Kemasukan tekong import itu nyata berkesan untuk mematikan langkah lawan apabila mengutip mata demi mata untuk meluru ke hadapan 18-8.

Kemenangan itu menyaksikan Perak Bison mengutip 26 mata dan memintas ATM Guardians di saat-saat akhir.

Guardians, yang turut mengutip 26 mata, terpaksa berpuas hati dengan RM30,000 selaku naib juara berdasarkan kelebihan Bison daripada segi perbezaan set menang dan kalah.

Sementara itu, Johor Tigris menduduki tempat ketiga selepas menumpaskan Kelantan Warriors 2-0 untuk meraih RM20,000.

Senarai pemenang STL 2019:

Juara: Perak Bison
Naib Juara: ATM Guardians
Tempat Ketiga: Johor Tigris
Tempat Keempat: Penang Black Panthers
Pemain Terbaik Mingguan: Mohamad Hafizul Hayazi
Pengadil Terbaik STL: Muhammad Ariffin Ahmad Rahim
Anugerah Fair Play: Negeri Sembilan Antlers
Pemain Luar Terbaik: Apirak Promanee (Kelantan Warriors)
Jurulatih Terbaik: Aswadi Abdullah (ATM Guardians)
Pengurus Terbaik: Mejar Tajul Hisyam Mamat (ATM Guardians)
Pengumpan Terbaik: Aidil Aiman Azwawi - (Kelantan Warriors)
Perejam Terbaik: Mohammad Azlan Alias (Penang Black Panthers)
Tekong Terbaik: Ahmad Aizat Nor Azmi (Kuala Lumpur Thunder)
Pemain Paling Bernilai: Mohammad Azlan Alias (Penang Black Panthers)

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen