Perak Bison menepati sasaran awal apabila menduduki tangga ketiga pusingan pertama Liga Sepak Takraw (STL).

Pengurus Bison, Jaffrey Mohd Zainol, gembira dengan persembahan pemainnya yang mengutip 12 mata selepas sembilan perlawanan.

"Pemain mencipta dua kemenangan pada minggu keempat untuk meletakkan pasukan di kedudukan yang baik.

"Saya berharap mereka dapat meneruskan momentum dalam baki kempen nanti," katanya.

Menurut pengurus itu, kehadiran tekong baru dari Thailand, Natthawut Naewprom, membawa perubahan drastik pada minggu keempat.

Naewprom, 29, menyertai Bison sejak Sabtu lalu selepas membantu Navy Thailand menjuarai Liga Thai.

"Pemain itu baru memenangi 1.5 juta Baht berikutan kejayaan menjuarai Liga Thai.

"Kehadirannya sudah tentu mengukuhkan lagi pertahanan Bison selain melonjakkan semangat pemain tempatan.

"Berikutan itu, wujud persaingan dalam kalangan pemain. Ini perkembangan yang sihat dalam pasukan," tambahnya.

Sebelum ini, Bison menggunakan khidmat rakan Naewprom, iaitu Surasit Phukbuangern, selama tiga minggu.

Jaffrey juga membayangkan pengambilan seorang lagi pemain baru tetapi enggan mendedahkan identitinya.

STL berehat selama seminggu dan akan bersambung semula di Gem in Mall, Cyberjaya, 11 Oktober ini .