STL: ATM Guardians kembali ungguli liga

Oleh Farizal Yusoff 18 November 2018 1647
STL: ATM Guardians kembali ungguli liga
ATM Guardians mengotakan janji untuk kembali menduduki takhta liga apabila mudah menumpaskan Kelantan Warriors 2-0 (21-10, 21-16) dalam saingan minggu ketujuh Liga Sepak Takraw ( STL) di Gem In Mall, Cyberjaya, sebentar tadi.

ATM Guardians yang wajib menang  untuk menyamakan pungutan mata dengan juara bertahan, Penang Black Panthers, membariskan Hairul Hazizi Haidzir, Khairudin Adenan dan Norfaizzul Abdul Razak.

Kelantan Warriors, yang masih segar dengan kemenangan 2-0 ke atas Selangor Pistons, kembali menggunakan khidmat apit kiri kebangsaan, Aidil Aiman Azwawi, untuk bergandingan dengan Farid Aziz dan Naim Izani Noor.

Dalam set pertama, ATM  Guardians bermula garang dengan meninggalkan lawan 10-6  sambil Kelantan membuat pertukaran pertama dengan membawa masuk Yuslie Jusoh dan mengeluarkan Naim Izani.

Keadaan serba tidak menjadi memaksa ketua jurulatih Kelantan Warriors, Mohd Rozlan Ismail, meminta 'time-out' untuk memberi semangat semula kepada pemainnya ketika kedudukan 13-6.

Servis kencang tekong kebangsaan, Hairul Hazizi, ketika mencari sasaran satu yang gagal dikawal Yuslie membolehkan ATM Guardians menang 21-10 dalam masa 39 minit.

Dalam set kedua,  Kelantan Warriors cuba bangkit dengan mendahului 3-0 melalui variasi servis Farid dan libasan Naim Izani, namun ATM Guardians tidak mudah goyang untuk kembali menyamakan kedudukan melalui libasan kencang bekas apit kanan negara, Khairudin.

Permainan semakin menarik apabila kedua-dua regu saling berkejaran mata sehinggalah variasi servis Hairul Hazizi membuka jurang 12-11 sambil Kelantan Warriors meminta 'time-out' untuk merancang semula strategi.

Khairudin membuktikan dia masih berbisa apabila tiga libasan kencangnya gagal dihalang pertahanan lawan untuk membolehkan ATM Guardians mendahului 18-15.

Libasan akhir Khairudin di angka penamat membolehkan ATM Guardians menang 21-16, sekali gus kembali mendahului carta liga dengan 26 mata.

Ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, menghamburkan pujian kepada pemain yang beraksi mengikut strategi yang dirancang.

"Alhamdulillah, pemain beraksi dengan baik dan kami menang 2-0 untuk kembali memintas Penang Black Panthers dalam carta liga.

"Ada dua lagi baki perlawanan dan kami perlu lebih bersedia jika berhasrat untuk menjuarai STL musim ini," katanya.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen