Sedar hanya kemenangan mampu membuka semula perebutan juara liga selepas Penang Black Panthers mudah mengalahkan Johor Tigris 2-0, malam tadi, ATM Guardians berjanji memberikan aksi lebih hebat ketika turun menentang Kelantan Warriors dalam Liga Sepak Takraw (STL) di Gem In Mall, Cyberjaya, petang ini.

ATM Guardians yang masih segar dengan kemenangan 2-0 ke atas PDRM Defenders, petang semalam, bakal menurunkan kembali apit kanan berpengalaman, Khairudin Adenan, yang direhatkan sebelum ini untuk digandingkan dengan tekong kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir, dan Norfaizzul Abdul Razak.

Ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, tidak mahu pemainnya terlalu memikirkan prestasi pasukan lain, sebaliknya fokus dengan aksi dan strategi yang bakal digunakan.

"Jangan terlalu fikirkan prestasi dan keputusan pasukan lain. Sebaliknya, beri tumpuan dan fokus sepenuhnya terhadap aksi sendiri.

"Kami akan bertemu dengan Kelantan Warriors yang memiliki pemain yang mempunyai semangat juang tinggi dan saya harap perlawanan yang menarik dapat disaksikan petang ini," katanya.

Ditanya kekuatan yang ada pada Kelantan Warriors, Aswadi menyifatkan kualiti dan pengalaman yang dimiliki menjadi tunjang skuad kendalian Mohd Rozlan Ismail itu.

"Mereka (Kelantan Warriors) memiliki dua tekong (Farid Aziz dan Hisyam Mat) yang semakin meningkat prestasi. Begitu juga kebolehan yang ada pada kapten, Aidil Aiman Zawawi, termasuk pelibas berpengalaman, Yuslie Jusoh.

"Kelantan Warriors sudah pasti mahu menebus kekalahan dalam pusingan pertama dan saya jangka pertemuan ini pasti sengit dan mencabar kepada kami," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan Warriors, Mohd Rozlan, yakin barisan pemainnya tidak akan memberi laluan mudah kepada ATM Guardians.

"Kami akan turun dengan penuh bersemangat untuk mencipta kejutan dan kembali mendaki carta STL.

"ATM Guardians sebuah pasukan yang mantap, tetapi saya yakin semangat perjuangan Kelantan Warriors tidak mudah goyang," katanya.

Untuk rekod, ATM Guardians berada di tangga kedua dengan 24 mata manakala Kelantan Warriors di tempat keempat dengan 16 mata hasil daripada lapan kemenangan.