Perak Bison memperagakan aksi cemerlangnya ketika menundukkan Kelantan Warriors 2-0 untuk kemenangan ke-10 semalam, sekali gus melonjak selaku pendahulu Liga Sepak Takraw (STL) 2019.

Walaupun mungkin hanya untuk seketika tetapi cara anak buah Ismi Hissan Ismail itu mencatat kemenangan ke atas Kelantan di Gem In Mall, Cyberjaya, menjadi petanda bahawa Bison sudah bersedia untuk mencabar pasukan handalan, termasuk Penang Black Panthers.

Dalam perlawanan malam tadi, kecuali sedikit tentangan dalam set pertama, trio Perak yang terdiri daripada Nattawhut Naewprom (tekong), Amirul Ramadhan Fazillah Suhaimi (perejam) dan Azwan Muhrim (pengumpan) tidak menghadapi masalah untuk menumpaskan lawan 21-16, 21-7 dalam masa 42 minit.

Kelantan jelas tidak mempunyai jawapan terhadap servis kencang Nattawhut dan juga rejaman Amirul Ramadhan dalam set kedua.

Begitupun, Ismi tidak mahu anak buahnya leka dibuai mimpi walaupun kini menduduki persada liga.

"Belum boleh lagi kerana ada baki lima perlawanan lagi.

"Kami kena menang semua jika nak jadi juara," katanya.

Apapun, jurulatih itu gembira kerana percaturan yang dibuat menjadi buat Perak Bison untuk berada di kedudukan sebaik itu.