Saingan Liga Sepak Takraw League (STL 2018) kembali bersambung di Gem In Mall, Cyberjaya hari ini dengan berlangsungnya enam perlawanan -- dua perlawanan STL Premier dan empat perlawanan STL Divisyen Satu yang menjadi pembuka tirai bagi minggu keenam.

Dalam aksi STL Premier, Selangor Pistons menterjemahkan kebangkitan bergaya dalam kedua-dua set untuk melakar kemenangan dramatik 2-0 (25-23, 25-24) ke atas Melaka Titans.

Selangor Pistons bermula dengan menurunkan gandingan Shafiq Shariff, Arif Badri dan Shafirul Nizam Zainal yang dilihat bergelut di awal permainan dan lambat mendapat rentak menyaksikan mereka ketinggalan 10-17 pada satu ketika.

Begitupun, regu Melaka Titans, Khobil Sapair, Hasif Yusof dan Asyraaf Zawawi gagal mempertahankan kelebihan selesa itu dengan melakukan banyak kesilapan mudah yang membenarkan Selangor Pistons mengutip mata demi mata untuk menang 25-23.

Skrip sama berulang dalam set kedua, sekali lagi Selangor Pistons ketinggalan jauh 10-17 dan keghairahan pemain-pemain Melaka Titans yang mahu segera menamatkan perlawanan untuk beraksi dalam set penentuan memakan diri apabila mereka kerap hilang tumpuan sebelum kecundang 24-25.

“Kami bermula agak lambat, lawan dah mendahului tujuh mata, kemudian barulah mereka kurangkan kesilapan, mengatasi kelemahan, terutama daripada segi penerimaan bola pertama dan memperkemas pertahanan. Itu yang bantu kamiuntuk kutip mata dan mengejar mereka.

“Sama juga dalam set kedua, saya rasa mungkin penyudah pihak lawan tidak berapa cantik, dan kami ambil kesempatan di situ.

"Sebenarnya dari awal saya sudah tekankan dengan Melaka Titans ni kami kena dapatkan rentak awal sebab apa yang kami kesan mereka memang kebanyakan perlawanan mereka tinggalkan lawan dengan jauh tetapi tewas di penghujung,” kata jurulatih Selangor Pistons, Amir Bakar.

Kemenangan itu adalah yang keempat buat Selangor Pistons musim ini, namun mereka kekal menghuni tangga kedua tercorot manakala bagi Melaka Titans pula, ia adalah kekalahan ke-10 berturut-turut sejak kali terakhir menang pada minggu pertama saingan.

Satu lagi aksi STL Premier menyaksikan Penang Black Panthers yang menurunkan regu terkuatnya, Zaim Razali, Syahir Rosdi dan Azlan Alias tidak berdepan masalah besar untuk melakar kemenangan 2-0 ke atas Perak Bison.

Gandingan itu menang 21-16 dalam set pertama ke atas Heppy Itam, Shohibul Fadillah Salam dan Firdaus Mohamad dan kemudian 21-6 dalam set kedua.

Sementara itu, aksi Divisyen Satu STL membuka tirainya hari ini yang menyaksikan Putrajaya Cyborg yang dianggap sebagai satu daripada pasukan tumpuan musim ini bermula dengan langkah kanan setelah menewaskan Pahang Mammoth 2-0 (21-19, 21-18).

Putrajaya Cyborg terlepas tiket bermain dalam STL Premier musim ini setelah menamatkan saingan Divisyen Satu musim lalu di tempat ketiga, dengan hanya beza set di belakang PDRM Defenders.

Negeri Sembilan Antlers pula dikerah bekerja keras oleh pendatang baru, Masum-UPM, sebelum mencatat kemenangan 2-1 (25-24, 14-21, 21-18) manakala Labuan Drillers bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan PSM Mavericks 2-1 (10-21, 21-13, 21-9).

Dalam perlawanan lain, Kedah Eagles membuka kempen dengan kemenangan 2-0 (21-8, 21-15) ke atas Sarawak Hunters.