Shapawi keliru dengan tindakan Syahir, Zulkifli

Oleh Staff Writer 13 Julai 2019 19476
Shapawi keliru dengan tindakan Syahir, Zulkifli
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, keliru dengan tindakan dua tekong sepak takraw negara, Syahir Rosdi dan Zulkifli Abdul Razak, yang mengambil keputusan drastik mengumumkan persaraan.

"Jika mahu berjumpa, kenapa umum persaraan?," soalnya.

Itu tindakan yang mengelirukan oleh dua tekong negara itu yang mengambil keputusan tidak tepat ketika masih terdapat masa untuk menyelamatkan keadaan.

Pengumuman persaraan dibuat oleh kedua-dua pemain itu, yang pada masa yang sama, mahu bertemu Shapawi bagi menyelesaikan kemelut yang melanda melibatkan pengurusan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

"Saya agak terkejut dengan apa yang telah berlaku dan dua atlet ini telah berhubung untuk bertemu saya. Kami akan cuba mendapatkan laporan yang lebih lengkap, namun mereka telah mengambil keputusan untuk bersara," katanya.

Tegas Shapawi lagi, beliau tetap akan bertemu dengan dua pemain itu bagi mendapatkan gambaran sebenar isu yang melanda mereka.

"Kami akan dapatkan gambaran yang jelas atas tindakan mereka untuk bersara apabila bertemu dengan Syahir dan Zulkifli. Kami telah meminta pihak persatuan untuk memberikan kenyataan lengkap yang bertulis dan ia akan dibincangkan bagi mendapatkan jalan penyelesaian."

Sementara itu, bekas pemain sepak takraw kebangsaan, Mohd Futra Abd Ghani, serta Pengerusi Teknik dan Pembangunan Sukan, Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), Borhanuddin Aziz, menyifatkan persaraan Syahir dan Zulkifli satu kerugian buat skuad negara.

"Apa yang kami fahami, masih terdapat lagi beberapa tekong untuk diberikan peluang menggantikan pemain yang mengambil keputusan untuk bersara. Dalam tempoh lima bulan sebelum Sukan SEA Filipina, kebolehan mereka masih lagi sempat untuk digilap bagi menghadapi saingan dwitahunan itu," kata Futra.

"Ia merupakan satu kehilangan buat Malaysia. Kualiti serta pengalaman mereka mampu membutirkan pingat untuk kontinjen negara dalam Sukan SEA serta Asia," kata Borhanuddin.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen