Harapan Kelantan untuk mara ke suku akhir Kejohanan Sepak Takraw Grand Prix (GP) 2017 di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Taman Keramat, Kuala Lumpur, lebur apabila tewas kepada Negeri Sembilan 2-1, petang tadi.

Kelantan yang turun dengan misi wajib menang selepas kalah 2-1 kepada Terengganu dalam perlawanan pertama Kumpulan D petang semalam, bermula hambar apabila regu A kalah mudah kepada regu utama Negeri Sembilan.

Kelantan, yang menurunkan Hanif Salaemae sebagai tekong, Mohd Aiman Fouzi (apit kanan) dan Mohd Saupi Salleh (apit kiri) tidak terdaya menahan asakan regu lawan, tewas mudah 21-9, 21-14.

Bagaimanapun, kedudukan kembali seimbang apabila regu B Kelantan yang diwakili Mohd Hafiz Mohd Rowi, Mohd Hafizi Maarof dan Aidil Aiman Azwawi menang mudah ke atas regu B Negeri Sembilan 21-15, 21-18.

Hajat Kelantan untuk mencipta kemenangan melalui regu C musnah apabila Muhammad Khairul Hisyam Md Yusoff (tekong), Muhamad Yusri Yusoff (apit kanan) dan Malek Faqimi Ideris (apit kiri) tidak mampu bertahan dan kalah mudah 9-21, 18-21.

Pengurus pasukan, Mohd Adnan Mat, jelas kecewa dengan kekalahan anak buahnya sambil mengakui kelemahan servis tekong menjadi punca kegagalan Kelantan mara ke suku akhir.

“Kegagalan tekong melakukan servis yang baik disamping kelemahan pemain yang melakukan kesilapan mudah menyebabkan Kelantan terpaksa akur gagal melayakkan diri ke peringkat suku akhir.

“Kami akan mengenal pasti segala kelemahan dan bersedia untuk Kejohanan Liga Sepak Takraw (STL), akhir bulan ini,” katanya.