Skuad sepak takraw negara berlepas ke Bangkok, Thailand hari ini dengan semangat baru sambil mahu melupakan episod duka yang dialami dalam Kejohanan Piala Raja Thai edisi lalu.

Insiden pada edisi lalu ternyata memberikan igauan buat Abd Talib Ahmad sebagai jurulatih.

Malaysia memboikot perlawanan akhir bertemu tuan rumah Thailand kerana mendakwa pengadil perlawanan berat sebelah.

Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) mengambil keputusan untuk mendenda Abd Talib dan pembantunya, Rashidi Nordin.

Turut sama didenda adalah pengurus, Mohd Zambri Abdul Rahman, dan tiga lagi pemain, Afifudin Razali, Safaruddin Abu Bakar dan Izudin Refin.

"Kami mengambil perkara lepas sebagai pengajaran dan berharap untuk mempamerkan persembahan yang lebih baik selepas ini," kata Abdul Talib.

Kini skuad sepak takraw negara mahu membuka lembaran baru untuk memperbaiki prestasi mereka.

Ketiadaan perejam berbisa yang kerap membarisi skuad negara bukan masalah buat skuad negara kerana masih terdapat pemain lain yang mampu untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

"Saya mengambil tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin," kata pemain sepak takraw negara, Kamal Ishak.