Regu Universiti Putra Malaysia (UPM) B membuktikan mereka layak bergelar juara apabila menumpaskan regu UPM A straight set 2-0 (21-11 dan 21-18) dalam final Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Universiti Malaysia ( MASUM) di Dewan Badminton Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, pagi tadi.

Dalam separuh akhir petang semalam, Regu UPM B berjaya menyingkirkan Regu Universiti Teknologi Mara (UiTM) A 2-0 manakala UPM A mengalahkan Regu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) B juga dengan keputusan yang sama, 2-0.


Dalam aksi final yang menarik, regu UPM B membuat sedikit rombakan dengan menurunkan tekong, Mustaqim Zainordin, Wan Muhammad Anas Muhaimi dan Muhammad Shahrul Akmal, beraksi cemerlang di set pertama apabila menang 21-11.

Namun, di set kedua, UPM A yang terdesak mencari kemenangan bagi mengheret perlawanan ke set penentuan membawa masuk tekong utama, Meor Muhamad Zulfikar dan perejam, Muhamad Danial Bahari.

Malangnya, ketenangan tekong UPM B, Muhammad Ikhwan Abdul Rahman yang juga dibawa masuk dalam set kedua, berjaya melakukan dua servis kencang untuk kemenangan kepada regunya, 21-18.

Terdahulu, regu A Universiti Teknologi Mara (UiTM) memenangi tempat ketiga apabila menumpaskan regu B Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) 2-0 (21-13 dan 21-18) dalam masa 45 minit.

Ketua Jurulatih UPM, Ahmad Sufi Mohamed Hashim bersyukur dengan kejayaan anak buahnya sambil menyifatkan komitmen dan disiplin yang baik menjadi resepi terbaik untuk bergelar juara di sini.

"Alhamdulillah dan syukur atas kejayaan berganda ini. Tahniah kepada semua pemain yang berjaya menjulang nama UPM dalam MASUM kali ini," katanya.

Keputusan Penuh:

Johan: UPM B
Naib Johan: UPM A
Ketiga: UiTM A
Keempat: UTHM B