PSM perlukan pucuk pimpinan baru

Oleh Staff Writer 10 Jun 2018 1095
PSM perlukan pucuk pimpinan baru
Bekas pemain negara, Mohd Hafizie Manap, menyeru agar pemilihan exco baru Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) pada 24 Jun ini dirombak agar tidak lagi menggunakan kaedah undian angkat tangan seperti yang dilakukan sebelum ini.

PSM sudah ditubuhkan sejak tahun 1960 dan sistem undian yang dilaksanakan badan induk itu sejak sekian lama menggunakan undian mengangkat tangan ketika persidangan.

Namun, sistem itu dilihat sudah tidak lagi relevan dengan masa kini di samping mampu memberikan implikasi negatif terhadap perwakilan yang seharusnya merahsiakan setiap undian diberikan.

"Bagi saya, cara itu tidak lagi relevan dan ia perlu bersifat rahsia. Cara undian dengan mengangkat tangan ini seperti di peringkat sekolah," kata Hafizie.

Selain itu, Hafizie juga berkata sudah tiba masanya PSM ditadbir oleh pucuk pimpinan yang baru bagi menaikkan semula martabat sukan takraw di Malaysia.

Selain penyandang, Datuk Seri Ahmad Ismail, dua calon lain bagi jawatan tertinggi badan induk itu adalah Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka, Datuk Akramuddin Abd Aziz, dan juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor, Datuk Markiman Kobiran.

"Terlalu lama kepimpinan Ahmad Ismail, tiada perkembangan dalam prestasi sepak takraw negara, jadi pembaharuan amat diperlukan," katanya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen