Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) terus dilanda kontroversi apabila badan induk itu bakal berdepan hukuman penggantungan selepas wujud aduan mengenai salah urus tadbir dan ketirisan ketika pemilihan exco dalam Mesyuarat Agung PSM penggal 2018-2021.

Selepas 20 hari berlalu, Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor, Datuk Markiman Kobiran, tampil ke Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) bagi memohon pembatalan mesyuarat AGM PSM yang berlangsung 24 Jun lalu.

Markiman mendakwa terdapat individu yang tidak layak untuk membuang undi dibenarkan dan ia melanggar perlembagaan ditetapkan.

Ia merujuk kepada 32 ahli yang berada di situ atas lantikan pentadbiran sebelum ini yang merangkumi jawatan lantikan oleh presiden dan anggota bebas.

Undian sebenar sepatutnya hanya merangkumi 34 undi sahaja daripada 17 wakil gabungan PSM.

Ketika pemilihan exco baru 24 Jun lalu, Markiman tewas kepada penyandang, Datuk Ahmad Ismail, bagi jawatan presiden dengan keputusan 16 berbalas 51 undian.

"Untuk memohon supaya AGM PSM dibatalkan, saya telah mendapat reaksi positif mengenai perkara ini dan PJS akan membuat siasatan secara terperinci," kata Markiman.