Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor, Datuk Markiman Kobiran, menggesa semua perwakilan untuk mengusulkan undi sulit bagi menjamin ketelusan dalam pemilihan exco baru Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pada 24 Jun ini.

Menurut perlembagaan Fasal 25.3 yang telah ditetapkan dalam badan induk itu, undian angkat tangan digunapakai dalam mesyuarat melainkan terdapat usul oleh ahli majlis untuk menggunakan kaedah undi sulit.

Justeru, Markiman berharap agar perwakilan yang hadir dalam mesyuarat 24 Jun ini akan bersetuju untuk mengguna pakai kaedah undi sulit yang dilihat mampu menjamin integriti perwakilan.

"Dia (pengundi) akan rasa serba salah, rasa simpati dan sebagainya. Kalau boleh tidak perlu undi, nak sulit atau sebaliknya. Terus putuskan undi sulit dan kami mahu lihat keputusannya, " ujarnya.

Dalam masa yang sama, Markiman menyifatkan pencalonan Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka, Datuk Akramuddin Abdul Aziz, hanyalah boneka untuk mengelirukan perwakilan.

Katanya, ia ibarat skrip ulangan pemilihan exco pada 2014, di mana Akramuddin juga tercalon sebagai presiden, namun menarik diri pada saat-saat akhir dan hanya fokus bertanding kerusi timbalan presiden.

"Bagi saya, ia menunjukkan bahawa PSM sedia ada kehilangan bakat atau kebolehan yang boleh ditonjolkan.

"Mereka tiada pilihan lain sama ada mahu meletakkan Akramuddin atau Ahmad Ismail, mereka akan putuskan kemudian" katanya lagi.