Skuad sepak takraw simpanan negara sedia menyahut cabaran untuk mengharumkan nama Malaysia apabila mereka bakal mengisi posisi dikosongkan pemain utama bagi menghadapi Piala Raja Thai yang bermula semalam.

Beberapa pemain dalam skuad kebangsaan menyambut baik perancangan ketua jurulatih, Abdul Talib Ahmad, yang sudah mencanangkan untuk membawa beberapa pemain muda ke Bangkok sebagai medan meraih pengalaman, terutama bagi tekong, Said Ezwan Said De, yang kerap dibayangi pemain utama, Syahir Rosdi dan terbaru wira Sukan Asia, Zulkifli Abd Razak.

Justeru, dia mengharapkan sentuhannya dalam Piala Raja Thai mampu untuk membuka mata barisan kejurulatihan bahawa dia juga antara tekong terbaik yang dimiliki Malaysia ketika ini.

"Ini sebagai latihan saya dalam saingan kali ini. Saya berharap dapat menampilkan aksi terbaik berdepan Thailand," kata Said Ezwan.

Turut terpilih membawa cabaran Malaysia adalah perejam muda, Noraizat Nordin, yang hanya sempat beraksi dua perlawanan sahaja dalam Sukan Asia tempoh hari.

Keinginnanya membuak untuk berentap dengan perejam terbaik dunia, Pornchai Kaokew, setelah dia tidak diturunkan oleh Talib ketika Malaysia bertembung dalam acara regu berpasukan di Indonesia, bulan lalu.

"Beraksi dalam Piala Raja Thai adalah sasaran saya. Saya berharap dapat beraksi kali ini dan sedia untuk berdepan mana-mana pasukan," kata Noraizat.