Piala Juara-Juara STL: Wan Naim yakin kemampuan Wutthikai

Oleh Farizal Yusoff 12 Disember 2019 5284
Piala Juara-Juara STL: Wan Naim yakin kemampuan Wutthikai
Kelantan Warriors menghangatkan saingan Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) musim ini apabila mengikat tekong negara, Ahmad Aizat Nor Azmi, dan apit kanan Thailand, Wutthikai Rattanasut.

Pelibas utama Warriors, Wan Naim Izani Wan Noor, yakin kehadiran Wutthikai pasti memberi lebih kekuatan dalam aspek serangan bagi menandingi regu yang lebih berpengalaman daripada Kumpulan B.

"Kami mahu kehadiran Warriors dalam saingan kali ini lebih dirasai oleh semua pasukan yang bertanding.

"Libasan Wutthikai memang padu, terutama dalam aksi persahabatan menentang Naratiwat TC, baru-baru ini. Kehadirannya mampu membawa Warriors capai sasaran mara ke separuh akhir," katanya.

Wan Naim Izani juga mengakui tidak kisah siapa yang bakal diturunkan jurulatih baru, Awie Awang, sebaliknya kemenangan pasukan lebih diutamakan.

"Siapa pun yang diturunkan jurulatih perlu memikul tanggungjawab memastikan kemenangan pasukan.

"Tidak ada sebarang masalah kerana jurulatih lebih mengenali pemainnya dan strategi yang bakal digunakan untuk mengatasi lawan," katanya.

Untuk rekod, Warriors diundi dalam Kumpulan B bersama naib juara tahun lalu, ATM Guardians, Negeri Sembilan Antlers, China, Indonesia dan Singapura.


 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen