Singapore Lions terus menderita tewas dalam perlawanan ketiga Piala Juara-Juara STL apabila kali ini tumbang secara straight set dalam pertemuan dengan Negeri Sembilan Antlers sebentar tadi.

Selepas tewas dalam dua perlawanan sebelum ini kepada Perak Bison dan Kelantan Warriors, pasukan jemputan bimbingan Salleh Nanang itu turun dalam perlawanan penting untuk meraih mata pertama di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru.

Set pertama lebih memihak kepada Negeri Sembilan Antlers, yang menyandarkan misi di bahu Syawal Akmal selaku tekong, Zul Afendi Sumairi (apit kiri) dan perejam kelahiran Terengganu, Hanapiah Dollah, memperagakan kawalan gelanggang serta rejaman menjadi, sekali gus memberikan kemenangan buat pasukan bimbingan Shahibul Mazlan itu 21-11.

Singapore Lions, yang bakal berhitung dengan pasukan Korea Selatan Heachi dalam aksi berikutnya, terus tampak bergelut apabila lebih banyak bertahan dengan serangan dan asakan berterusan Negeri Sembilan Antlers untuk membenarkan lawan mencatat kemenangan mudah 21-14 bagi kejayaan kedua dalam kempen kali ini.

Sementara itu, China turut tersungkur dalam aksi ketiga apabila mudah dijinakkan ATM Guardians 21-4, 21-11.

Kelantan Warrriors pula terpaksa gigit jari apabila peluang ke separuh akhir tertutup rapat susulan kekalahan 18-21, 14-21 kepada Korea Haechi.

Keputusan lain:

PENANG BLACK PANTHERS mn INDONESIA GARUDA 21-18, 21-18