Piala Juara-Juara STL: Perak Bison mahu pecah pertahanan Negeri Sembilan Antlers

Oleh Farizal Yusoff 8 Disember 2018 634
Piala Juara-Juara STL: Perak Bison mahu pecah pertahanan Negeri Sembilan Antlers
Selepas tewas 1-2 kepada Johor Tigris, Perak Bison wajib mengalahkan juara Divisyen 1, Negeri Sembilan Antlers, dalam aksi kedua Kumpulan B, Piala Juara-Juara STL di Gem in Mall, Cyberjaya, malam ini.

Dengan melihat aksi hebat dipamerkan skuad kendalian Isa Sidek itu ketika tewas 1-2 kepada ATM Guardians malam tadi, pengurus Perak Bison, Ismi Hissan Ismail, percaya tugas berat menanti barisan pemainnya dalam memburu kemenangan pertama.

"Kami memilih jalan sukar apabila tewas 1-2 kepada Johor Tigris biarpun menguasai set pertama.

"Saya melihat keupayaan Negeri Sembilan Antlers terletak pada tekong import dari Thailand, Niphat Wongprasoet, yang begitu baik dalam melakukan servis pertama.

"Pertahanan mereka juga agak mantap.

"Saya meramalkan aksi sukar bakal dilalui malam ini memandangkan kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan untuk menghidupkan peluang ke suku akhir," katanya.

Ditanya mengenai strategi yang bakal digunakan untuk memerangkap Negeri Sembilan Antlers, Ismi Hissan menjelaskan mereka akan beraksi dengan semangat tidak menyerah kalah dan berusaha memecahkan pertahanan lawan itu.

"Tiada sebarang strategi istimewa. 

"Semua pemain perlu memberikan aksi lebih baik dan mengurangkan kesilapan yang boleh memberikan mata mudah kepada lawan," katanya.

Ismi Hissan yang membawa Perak menjuarai Kejohanan Piala Emas Khir Johari (PEKJ) di Kota Bharu, Julai lalu, berharap pelibasnya, Mohd Fadzil Mustapha, mampu memberikan aksi terbaik dalam usaha mengatasi kehebatan apit kanan negara, Khairol Zaman Hamir Akhbar.

"Saya berharap Fadzil dapat memberikan aksi terbaik dan Yus Hanif (tekong) mampu membantu dengan pelbagai variasi servis yang mengelirukan lawan," katanya.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen