Piala Juara-Juara STL: Muqlis mahu rebut tempat skuad Sukan SEA 2019

Oleh Staff Writer 8 Disember 2018 2045
Piala Juara-Juara STL: Muqlis mahu rebut tempat skuad Sukan SEA 2019
Menyarung jersi keramat pasukan negara di pentas antarabangsa merupakan impian mana-mana atlet, tidak kira apa jua sukan yang mereka ceburi.

Ia juga merupakan sesuatu yang diimpikan apit kiri Johor Tigris, Muqlis Borhan, walaupun sebelum ini pernah mewakili skuad negara dari 2010 hingga 2014.

Bagi Muqlis yang juga kapten Johor Tigris, dia tidak pernah menutup pintu untuk kembali mewakili Malaysia, terutama menjelang pemilihan ke Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

"Kalau ikutkan, nama saya sudah dipanggil semula awal tahun ini untuk pemilihan Sukan Asia 2018 di Indonesia tetapi komitmen kerja dan keluarga membataskan fokus saya.

"Ia tidak bermakna saya tidak mahu lagi (mewakili negara). Jika dipanggil, memang saya akan pergi. Saya mahu meraih pingat emas dan kalahkan Thailand, lebih manis kalau dapat dilakukan dalam final Sukan SEA atau Sukan Asia.

"Pencapaian terbaik saya sepanjang mewakili Malaysia ialah pingat perak dalam acara regu selepas tewas kepada Thailand dalam final Sukan SEA 2013 di Myanmar," kata pemain berusia 28 tahun itu. 

Muqlis ditemui selepas membantu Johor Tigris membuka kempen Piala Juara-Juara, Liga Sepak Takraw (STL) dengan kemenangan ke atas Perak Bison, malam tadi. 

Johor Tigris yang pertama kali beraksi dalam pertandingan itu tewas set pertama 17-21, namun Muqlis yang bergandingan dengan Hairee Haidzir dan Fadzli Muhammad bangkit untuk mencatat kemenangan 2-1 (17-21, 21-12, 21-16). 

"Ia penampilan sulung kami dalam Piala Juara-Juara STL dan syukur kami bermula dengan baik. Sudah tentu ia memberi kami keyakinan untuk mengharungi baki dua aksi dan kami perlu kekal konsisten. 

"Kami belum boleh berpuas hati kerana sasaran diletakkan adalah layak ke separuh akhir dan kami berjanji akan membuat yang terbaik untuk merealisasikannya," kata pemain kelahiran Kuala Selangor itu. 

Aksi seterusnya buat Johor Tigris adalah menentang naib juara STL Premier, ATM Guardians, hari ini, dan Negeri Sembilan Antlers, esok.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen