Piala Juara-Juara STL: Johor Tigris atasi Perak Bison

Oleh Farizal Yusoff 7 Disember 2018 2168
Piala Juara-Juara STL: Johor Tigris atasi Perak Bison
Johor Tigris memulakan saingan Piala Juara-Juara STL dengan langkah kanan apabila menumpaskan Perak Bison 2-1 (17-21, 21-12, 21-16) di Gem in Mall, Cyberjaya, sebentar tadi.

Johor Tigris yang dibimbing bekas tekong kebangsaan, Ahmad Jais Baharom, 
membuat kejutan menyenaraikan bekas apit kanan Terengganu, Fazli Roslan, untuk bergandingan dengan tekong, Hairi Haidzir, dan kapten pasukan, Muqlis Borhan.

Perak Bison pula menurunkan apit kanan terbaik STL musim lalu, Mohd Fadzil Mustapha, Azwan Muhrim dan tekong, Yus Hanif Rosli.

Dalam set pertama, kedua-dua regu saling berkejaran mata sebelum servis kencang Yus Hanif  membolehkan Perak Bison mendahului 16-12 dan memaksa Johor Tigris meminta 'time out'.

Fadzil menjadi wira Perak Bison apabila libasan kencangnya dalam penentuan mata akhir gagal dikawal pemain Johor Tigris untuk menang 21-17.

Bersambung set kedua, Johor Tigris mula bangkit dengan variasi servis daripada Hairi yang membolehkan mereka jauh meninggalkan lawan 8-2 sebelum ketua jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail, membuat pertukaran memasukkan Heppy Itam dan mengeluarkan Yus Hanif.

Libasan kencang Fazli hasil umpanan cantik Muqlis, membolehkan Johor Tigris menang 21-12 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Pertarungan semakin mendebarkan dalam set tersebut apabila kedua-dua regu saling mengejar mata. 

Perak Bison kembali menggunakan khidmat Yus Hanif tetapi servis kencang Hairi membolehkan Johor Tigris mendahului 11-8.

Servis drop Hairi di mata akhir memerangkap pemain lawan dan membolehkan Johor Tigris melakar kemenangan 21-16.

Jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail, tetap memuji aksi yang ditampilkan pemainnya sambil mengakui sedikit kesilapan yang dilakukan, terutama di penghujung set ketiga, menghancurkan hajat mereka memburu kemenangan pertama.

"Alhamdulillah, pemain bermain mengikut apa yang dirancangkan. 

"Bukan rezeki kami untuk mencipta kejutan apabila sering melakukan kesilapan mudah di penghujung set penentuan.

"Insya-Allah, kami perlu bangkit segera bagi menghadapi Negeri Sembilan Antlers, malam esok," katanya.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen