"Tiada yang dapat mengatasi ketentuan takdir."

Begitu kata ketua jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail, mengenai kekalahan 0-2 juara liga STL itu kepada Johor Tigris dalam separuh akhir Piala Juara-juara STL 2019, malam tadi.

"Pemain sudah mencuba sedata upaya tetapi apakan tidak berjaya. Siapa tidak mahu menang.

"Kami sudah buat perancangan tetapi malangnya tidak menjadi.

"Saya reda dengan apa yang berlaku. Ia sudah ditakdirkan begitu. Pasti ada hikmahnya.

"Tahniah kepada Johor Tigris, Segalanya berpihak kepada mereka," katanya.

Justeru, Ismi berharap pemain Perak Bison lupakan segera kekecewaan malam tadi dan bangkit dalam perlawanan penentuan tempat ketiga bertemu Korea Haechi, petang ini.

Walaupun pernah menumpaskan lawan 2-1 dalam pertarungan peringkat kumpulan tetapi dia tidak mahu anak buahnya bersikap terlalu yakin.

"Kami menghadapi detik-detik sukar dalam pertemuan itu dan saya jangka ia akan berulang petang ini.

" Jadi saya berharap pemain Bison bersedia bangkit agar kekecewaan tumpas di separuh akhir dapat ditebus," tambahnya.

Pasukan yang menduduki tempat ketiga Piala Juara-juara STL 2019 bakal pulang dengan RM7,000 manakala tempat keempat meraih RM5,000.


Editor: Nafis Abdullah