Piala Juara-Juara STL: Guardians gagal terjemahkan kekuatan sendiri

Oleh Farizal Yusoff 27 Disember 2019 580
Piala Juara-Juara STL: Guardians gagal terjemahkan kekuatan sendiri
Tumbang straight set kepada tuan rumah, Johor Tigris, menjadi punca utama mengapa ATM Guardians gagal meloloskan diri ke peringkat separuh akhir Piala Juara-Juara STL di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru.

Ketua jurulatih Guardians, Aswadi Abdullah, akur dengan situasi tersebut biarpun berjaya menumbangkan juara bertahan, Penang Black Panthers, 2-1 dalam aksi akhir Kumpulan B malam tadi.

"Kami kehilangan mata (set) apabila kalah 2-0 kepada tuan rumah, Tigris, dalam aksi pertama.

"Keadaan menjadi lebih sukar malam tadi apabila kami bermula agak perlahan sebelum tumpas 19-21 dalam set pertama kepada Black Panthers.

"Perjuangan Guardians berakhir di sini dan kami akan adakan post mortem secepat mungkin untuk menilai semula prestasi sepanjang musim ini," ujarnya.

Aswadi, yang juga dipilih sebagai jurulatih terbaik STL musim ini, jelas kecewa dengan penyingkiran awal itu kerana gagal menepati sasaran awal mahu layak ke separuh akhir.

"Kami hanya perlu menyalahkan diri sendiri kerana gagal menterjemahkan kekuatan yang ada dalam skuad Guardians. Insya-Allah, kami akan bangkit lebih kuat untuk edisi musim depan," katanya.

Untuk rekod, Guardians muncul sebagai naib juara liga musim ini di belakang Perak Bison dan tersungkur di peringkat kumpulan dalam saingan Piala Juara-Juara STL.

Kredit Foto: STL

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen