Perak Bison meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Piala Juara-Juara STL 2019 apabila mengatasi Kelantan 2-1 di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru malam ini.

Kejayaan itu membolehkan juara liga Perdana STL itu mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan A selepas merakamkan kemenangan kedua.

Dalam perlawanan tadi, kedua-dua pasukan bertarung sengit sehingga terikat 19-19 sebelum Warriors mengutip dua mata terakhir untuk memenangi set pertama 21-19.

Bagaimanapun, percaturan pengendali Bison, Ismi Hissan Ismail, memasukkan Amirul Ramadhan Fadzillah Suhaimi menggantikan Fadhil Mustapha dalam set kedua membuahkan hasil apabila Bison bangkit untuk menang 21-15 sebelum menamatkan set penentuan 21-12.

"Alhamdulillah percaturan kami menjadi untuk kami merakam kemenangan ini.

"Pujian kepada setiap pemain yang telah bertungkus-lumus mengusahakan kejayaan ini," kata Ismi.