ATM Guardians memburu kemenangan kedua dalam aksi yang dijangka sengit menentang Johor Tigris dalam Piala Juara-Juara STL di Gem In Mall, Cyberjaya, malam ini.

ATM Guardians masih segar dengan kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan Antlers, malam tadi.

Mereka bakal mengekalkan apit kanan yang baru pulih daripada kecederaan, Asrie Isa, untuk digandingkan bersama tekong kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir, serta Norfaizzul Abdul Razak.

Ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, mahu pemainnya meneruskan fokus di dalam gelanggang dan tidak mudah menyerah kalah apabila ketinggalan.

"Saya cukup gembira apabila pemain tidak mudah menyerah kalah biarpun tewas dalam set pertama ketika menentang Negeri Sembilan Antlers.

"Mereka memberikan reaksi positif untuk memenangi dua set berikutnya biarpun pasukan lawan meningkatkan asakan di penghujung permainan," katanya.

Ditanya mengenai kekuatan Johor Tigris, Aswadi menyifatkan kualiti dan pengalaman menjadi tunjang skuad kendalian bekas tekong kebangsaan, Ahmad Jais Baharom, itu.

"Mereka berwajah baru apabila mendapatkan apit kanan negara, Mohd Fadzli Roslan, yang cukup baik untuk berganding dengan Muqlis Borhan.

"Jangan lupa, mereka juga memiliki tekong berpengalaman, Azman Abd Hamid.

"Ini pertemuan ketiga kami sepanjang musim ini.

"Masing-masing meraih satu kemenangan dan satu kekalahan.

"Malam ini cukup penting untuk kami meraih kemenangan dan mengintai tiket ke separuh akhir," katanya.

Untuk rekod, ATM Guardians berada di tangga kedua Kumpulan B di belakang Johor Tigris biarpun masing-masing memungut dua mata hasil satu kemenangan.