Skuad sepak takraw Terengganu berazam untuk merampas kembali kejuaraan Piala Emas Khir Johari yang dijangka akan diadakan di Sabah, Jun ini.

Sasaran itu diletakkan presiden baru Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT), Mohd Abas Mamat, selepas kali terakhir negeri itu muncul juara pada 2012.

Terengganu kemudian kempunan di pentas final sebanyak empat kali dalam edisi 2014, 2015, 2017 dan tahun lalu (tewas kepada Perak).

"Ketika prestasi Terengganu agak menurun, beberapa pasukan lain mula meningkat seperti Pulau Pinang, Perak dan Johor.

"Untuk membuktikan kami kekal selaku kuasa sepak takraw negara, trofi Piala Emas Khir Johari perlu dibawa pulang ke Terengganu," katanya.

Turut menjadi fokus PSNT adalah membaiki pencapaian satu pingat emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) dengan mengekalkan khidmat jurulatih, Mohd Futra Abdul Ghani.

Bekas bintang negara itu akan terus dibantu jurulatih Thailand, Vitthaya Boonta, bagi menghadapi Sukma 2020 di Johor.

Mohd Abas ditemui selepas aksi final Liga Sepaktakraw Terengganu (LST) 2019 yang menyaksikan Kuala Nerus muncul juara buat kali ketiga selepas menewaskan Besut 2-0, semalam.

Mata pertama Kuala Nerus disumbangkan regu utama, Irsyad Faiz Aziz, Rosmadi Abd Ghani dan M. Hasmadi Wahab, yang menang 21-10, 21-10 ke atas Anuar Sulaiman, Yazit Awang dan Mohamad Syakimi.

Regu kedua, Aidil Haikal Ghani, Adam Aiman Rusli dan Afif Jazimin Zainal Abidin, memastikan kejuaraan Kuala Nerus apabila mengatasi tentangan Md. Syaqir Adnan, Wan Muhamad Wan Zulkifli dan Aizat Azrin Ismail 21-13, 19-21, 21-11.

Selaku juara, pasukan Kuala Nerus membawa pulang wang tunai RM2,000, medal serta trofi manakala Besut terpaksa berpuas hati dengan RM1,000, medal dan trofi.