Regu PDRM A terpaksa bermandi peluh apabila di heret hingga ke set penentuan sebelum menewaskan Kelantan A untuk ke separuh akhir Piala Emas Khir Johari di Kuala Terengganu hari ini.

Seperti yang dijangkakan, perlawanan sengit disajikan kedua-dua pasukan yang menurunkan pemain utama.

Aksi awal set pertama tampak seimbang dengan masing-masing bijak membaca corak permainan lawan.

Kedua-dua tekong, Noor Azman Abdul Hamid (Kelantan A) dan Syahmi Husin (PDRM A), melaksanakan tugas dengan baik untuk mendapatkan mata menerusi servis.

Namun, pada penghujung set berkenaan, PDRM A mengintai peluang untuk menjarakkan kedudukan bagi mencipta kemenangan 21-17.

Dalam set kedua, PDRM A mengekalkan momentum cemerlang untuk mendahului 18-15.

Bagaimanapun, pengalaman yang dimiliki Kelantan A menidakkan hasrat itu apabila bangkit mencipta kemenangan 21-18 untuk mengheret perlawanan ke set ketiga.

Kebangkitan Kelantan A tidak dapat diteruskan dalam set penentuan gara-gara siri kesilapan yang dilakukan hingga membiarkan PDRM A selesa mendahului 11-2.

Syahmi, yang cemerlang menerusi servisnya, membutirkan banyak mata untuk terus unggul membawa PDRM A ke separuh akhir dengan kemenangan 21-12.