Selepas hampir enam tahun menyepi, Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) kembali menganjurkan Piala Dunia ISTAF yang akan berlangsung di Hyderabad, India, November ini.

Edisi pertama Piala Dunia ISTAF dilangsungkan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 2011 yang ketika itu disertai 23 pasukan lelaki dan 11 pasukan wanita, dengan Thailand muncul juara bagi kedua-dua kategori.

Selepas itu, susulan beberapa masalah, kejohanan ini terpaksa ditangguhkan sehinggalah Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader, mengumumkan kemunculan kembali saingan ini dalam kalendar sepak takraw antarabangsa bagi 2017.

"Pada awalnya, ia dijangkakan akan diadakan di Goa, India tetapi kami telah mendapat sokongan daripada Majlis Sukan India untuk mengadakan kejohanan itu di Hyrderabad," jelasnya.

Bagi edisi kali ini, ISTAF mengharapkan 20 pasukan akan mengambil bahagian dalam kategori lelaki dan 12 pasukan dalam kategori wanita.

Sehingga kini, dua negara, Malaysia dan Singapura, sudah pun mengesahkan penyertaan.

Dalam masa yang sama, Abdul Halim juga mengesahkan tidak akan timbul isu masalah penajaan sebagaimana yang dihadapi dalam saingan Siri Super ISTAF yang ditangguhkan tahun lalu.

"Selepas India menjadi tuan rumah, kejohanan sepak takraw berpasukan dan kuadran pula akan diambil oleh Persatuan Sepak Takraw Thailand yang telah bersetuju menjadi tuan rumah kejohanan," tambahnya.

Piala Dunia ISTAF akan membuka tirai 1 November ini.