Persatuan Sepak Takraw Perak (PERSEDAR) mengambil khidmat dua tekong Thailand dalam usaha memperkasa pasukan Bison di pentas Liga Sepak Takraw (STL) 2019 bermula 6 September ini.

Setiausaha persatuan itu, Mohd Jaffrey Mohd Zainol, memberitahu tindakan itu sebagai usaha memastikan Perak berupaya mencabar dalam saingan musim ini.

Dua pemain yang diambil itu ialah Natthawut Naewprom, 29, dan Surasit Phukbuangern, 23. Kedua-dua pemain itu berasal dari Chaiyaphum, Thailand dan mewakili pasukan Navy Thailand dalam Liga Thai.

"Kami terpaksa mengambil dua tekong Thailand memandangkan Natthawut hanya dapat menyertai Perak pada minggu kelima STL kerana terbabit dalam Liga Thai sehingga 28 September nanti.

"Semasa ketiadaannya, Surasit akan memikul peranan selaku tekong utama Perak," kata Jaffrey yang juga pengurus pasukan.

Dia juga memberitahu Surasit atau dikenali sebagai Fung akan mula berada di Perak hari ini tetapi dalam masa sama menegaskan dua tekong anak negeri, iaitu Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin dan Yus Hanif Rosli, masih dikekalkan.

Dalam masa sama, Perak akan kembali menerima khidmat pemainnya yang dipinjamkan kepada Negeri Sembilan, iaitu Muhamad Asyraaf Hadi.

"Pemain ini mewakili Negeri Sembilan Antlers tahun lalu dalam Divisyen 1 dan membantu pasukan itu muncul johan.

"Jadi, kali ini Perak ambil balik pemain itu."

Perak turut mengekalkan khidmat Muhammad Fadzil Mustapa, Muhammad Azwan Muhrim dan Amirul Ramadhan Fazillah Suhaimi yang baru-baru ini beraksi dalam Kejohanan Piala Emas Khir Johari 2019 di Kuala Terengganu dan pasukan itu akan dibimbing oleh jurulatih, Ismi Hissan Ismail.

STL kali ini akan dijalankan selama lapan minggu dan dimainkan di beberapa gelanggang, iaitu Stadium MABA, Kuala Lumpur (minggu 1-3), Spice Arena, Pulau Pinang (minggu 4), Dewan MPKB-BRI, Kota Baru (minggu 5-6), Stadium Indera Mulia, Ipoh (minggu 7-8) sambil minggu kelapan menjadi sirkit terakhir.