Diundi dalam kumpulan A bersama Penang Black Panthers, Melaka Titans dan Andalas Islanders (Indonesia), Perak Bison meletakkan sasaran untuk ke separuh akhir Piala Juara-Juara STL yang akan bermula di Stadium Tertutup Serdang Jaya (MPSJ), Selangor hari ini.

Keyakinan itu disuarakan ketua jurulatih, Ismi Hissan Ismail, berdasarkan kecemerlangan pasukan ketika Liga Sepak Takraw (STL), baru-baru ini.

"Pertandingan baru, semangat pun baru. Pemain masih dalam momentum, masalah kecederaan pemain pula minimum. Sudah tentu Perak Bison akan turun untuk memberi tentangan sebenar," kata Ismi.

Mengakui kehebatan pasukan lain, terutama daripada juara STL, Penang Black Panthers, jurulatih berpengalaman itu yakin pertembungan lalu sebagai pengajaran terbaik untuk pertemuan kali ini.

"Pulau Pinang kami sudah lawan, cuma Melaka dan Andalas kami perlu buat kerja rumah kerana tidak pernah bertemu. Apa-apapun, kami akan lihat percaturan perlawanan satu demi satu," ujarnya.

Perak akan bertemu Andalas Islanders (Indonesia) malam ini dan menyambung aksi menentang Pulau Pinang, esok sebelum bertemu Melaka pada Ahad.