Penang Black Panthers terus selesa di puncak liga selepas menewaskan Selangor Piston 2-1 dalam saingan Sepak Takraw League (STL) yang berlangsung di Stadium Tertutup MPSJ Serdang Jaya, sebentar tadi.

Turun dengan rekod lima kemenangan dan satu tewas yang membolehkan mereka berada di tangga teratas liga, skuad gergasi dari utara tanah air itu bagaimanapun dikejutkan dalam set pertama, selepas lawan menampilkan permainan kemas untuk menang 21-10.

Tersentak dengan kekalahan itu, Black Panthers yang dibarisi oleh Mohd Azlan Alias, Suhairi Sulaiman serta tekong kebangsaan, Mohammad Syahir Rosdi, kembali menyusun strategi sehingga berupaya mengikat set kedua 20-20, sebelum menang 24-22.

Aksi set penentuan jelas membuktikan keunggulan mereka selaku pendahulu liga apabila penyandang juara itu mudah menundukkan cabaran Selangor Piston 21-13 dan mengesahkan kemenangan 2-1 dalam perlawanan terakhir pusingan pertama round robin.

Sementara itu, Perak Bison berjaya memperbaiki kedudukan dalam liga selepas menewaskan Kuala Lumpur Thunders 2-0.

Perak mempertaruhkan Mohd Fadzil Mustapha, Meor Mohd Zulfikar Mat Amin dan Hafiz Zulkifli berjaya memenangi set pertama 21-17 selepas dipaksa berhempas-pulas.

Set kedua menyaksikan kedua-dua pasukan sering berbalas mata, menyaksikan kedudukan terikat 15-15 pada satu ketika.

Bagaimanapun, Perak akhirnya muncul selaku pasukan yang lebih baik apabila berjaya memastikan kemenangan mutlak 21-17 untuk terus menamatkan perlawanan.

Perak Bison akan memulakan pusingan kedua round robin esok, apabila turun menentang Penang Black Panthers sementara Kuala Lumpur Thunders akan bertemu Kelantan Warriors pada Ahad.


Foto kredit: Facebook Sepak Takraw League