Barisan kejurulatihan skuad sepak takraw negara berpuas hati dengan sesi pemilihan khas pemain yang dilakukan minggu lalu bagi menghadapi saingan Piala Dunia ISTAF di Hyderabad, India, bulan depan.

Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mengadakan sesi pemilihan khas untuk mencari pemain baru selama tiga hari dari 25 hingga 27 September lalu.

Ia membabitkan seramai 48 pemain sebelum dikecilkan kepada 30 pemain. Senarai akhir akan diumumkan selepas mesyuarat Exco PSM yang bakal diadakan tidak lama lagi dan ia akan dipilih daripada 24 pemain dalam senarai pendek.

“Dengan adanya sesi pemilihan, kami dapat memilih lebih ramai pemain berbakat serta bekas-bekas pemain kebangsaan yang masih berminat dan berkebolehan untuk menyarung jersi negara, sekaligus meraih gabungan mantap antara pemain baru dipilih dengan pemain sedia ada,” kata penolong jurulatih sepak takraw negara, Rashidi Nordin.

Sementara itu, pemain senior negara, Farhan Adam, mengakui keterbukaan PSM mengadakan pemilihan membuktikan PSM tidak pilih bulu dalam pemilihan pemain.

Bagi Farhan, pemain perlu bersaing secara sihat untuk meningkatkan kualiti permainan masing-masing, terutama untuk menghadapi ujian getir di India nanti.

“Pemain sedia ada masih belum pasti mengenai tempat dalam pasukan, jadi kami akan turut memberi saingan dalam sesi pemilihan.

“Diharapkan mana-mana pemain yang terpilih akan memberikan komitmen yang tinggi,” katanya.