PDRM Defenders mencipta kemenangan pertama musim ini setelah kecewa dalam dua aksi terdahulu apabila dipaksa berhempas-pulas untuk menjinakkan pasukan dari selatan tanah air, Johor Tigris, 2-1 hari ini.

Selepas kejayaan menewaskan pasukan pilihan, Penang Black Panthers, Johor Tigris muncul antara pasukan yang seharusnya diberikan perhatian.

Turun bertemu PDRM Defenders di Stadium MABA, jurulatihnya, Ahmad Jais Baharom, menyenaraikan barisan terbaik yang diketuai Noraizat Nordin selaku apit kanan, Farid Aziz (tekong) dan Muqlis Baharom (apit kiri).

Aksi set pertama menyaksikan corak permainan seimbang dengan PDRM menerusi perejam, Ridaudin Ghani, antara yang menjadi tumpuan apabila melakukan beberapa libasan menarik.

Namun, corak bertahan menjadi faktor memisahkan kedua-dua pasukan untuk Johor Tigris mengungguli set pertama 21-17.

PDRM tampil lebih agresif dalam set seterusnya dengan umpanan Suhairi Sulaiman serba menjadi bagi memudahkan tugas Ridaudin.

Tempo permainan mereka berjaya dikekalkan untuk PDRM mengheret perlawanan set penentuan.

Johor Tigris, bagaimanapun, gagal mengekal rentak permainan dalam set ketiga, dengan PDRM sebaliknya lebih dominan untuk mengakhiri saingan dengan kemenangan 21-13.

Keputusan lain:

TERENGGANU TURTLES 2 SABAH MOUNTAINEERS 1
11-21, 21-16, 21-18

NEGERI SEMBILAN ANTLERS 2 KELANTAN WARRIORS 1
21-15, 10-21, 21-17

KL THUNDER 1 ATM GUARDIANS 2
11-21, 21-9, 14-21